SEBERANG PERAI – Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan apabila bahagian mukanya melecur ketika cuba memadamkan kebakaran tayar lori yang dia pandu berhampiran Plaza Tol Juru di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa berusia 42 tahun memandu lori jenis Hino yang membawa muatan kelapa dan dalam perjalanan ke Perai bersama isterinya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, mangsa kemudiannya menyedari berlaku kebakaran pada belakang tayar lori terbabit.
“Mangsa turun dari lori dan berusaha untuk memadamkan api sebelum mengalami lecur di bahagian muka.
“Bantuan kecemasan telah diberikan oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian sebelum mangsa yang mengalami lecur tahap satu dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.14 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian bagi kerja pemadaman. – KOSMO! ONLINE