KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memaklumkan pihaknya tidak menerima apa-apa arahan daripada mahkamah untuk mengosongkan atau memindahkan pengurusan Menara Kuala Lumpur kepada mana-mana pihak ketiga.
Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh berkata, buat masa ini syarikat berkenaan akan meneruskan pengoperasian sehingga mendapat keputusan muktamad daripada mahkamah.
“Terdapat dua tuntutan untuk didengar di mahkamah, dan ada satu lagi tuntutan yang akan didengar di mahkamah pada 9 Jun 2025.
“Kami tidak menerima apa-apa arahan daripada mahkamah untuk mengosongkan atau memindahkannya ke mana-mana pihak ketiga,” katanya ketika sidang akhbar Penyerahan Kapsul Masa Menara Kuala Lumpur di Menara Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Selain itu, ditanya mengenai laporan polis yang dibuat oleh LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) terhadap Hydroshoppe Sdn. Bhd. dalam pertikaian mengenai pengurusan Menara Kuala Lumpur itu katanya, apa yang terbaik ketika ini ialah semua pihak perlu menunggu keputusan muktamad daripada mahkamah sebelum sebarang tindakan diambil.
Terdahulu, pada Mac tahun lalu, LSHSM menandatangani perjanjian pajakan dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bagi konsesi selama 20 tahun untuk mengendalikan Menara KL dan kawasan sekitarnya bermula 1 April.
Bagaimanapun, Hydroshoppe dan MKLSB memfailkan saman untuk mencabar pemberian konsesi tersebut, dengan menuntut ganti rugi RM20.13 juta serta menuntut konsesi itu diserahkan kepada mereka. – KOSMO! ONLINE