KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dengan kerjasama Hydroshoppe Sdn Bhd bakal membuka Kapsul Masa Wawasan 2020 pada 13 April ini.
Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh berkata, kapsul masa tersebut akan dibuka oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengamanahkan kunci kapsul masa tersebut kepada MKLSB sejak 1 Oktober 1996.
Beliau berkata, bersempena itu juga MKLSB akan menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertemakan ‘Raikan Raya bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad’ sebagai tanda penghormatan istimewa buat negarawan ulung yang amat dekat dengan sejarah penubuhan menara ikonik tersebut.
“Kunci kepada kapsul masa ini telah disimpan dengan penuh tanggungjawab oleh Ketua Pegawai Operasi kami, Affandi Abdullah, selama lebih 28 tahun enam bulan. Satu amanah yang kami junjung tinggi sebagai warisan penting negara.
“Pada 4 April yang lalu, saya bersama barisan pengurusan MKLSB telah menghadap Tun Dr. Mahathir bagi memaklumkan hasrat kami untuk menyerahkan semula kunci kapsul masa tersebut kepada beliau,” katanya ketika sidang akhbar Penyerahan Kapsul Masa Menara Kuala Lumpur di Menara Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Sementara itu katanya, dalam pertemuan itu, Dr. Mahathir berkongsi kenangan beliau menyaksikan pembinaan Menara Kuala Lumpur dari rumahnya di Galeria Perdana pada setiap pagi melalui teleskop di balkoni.
“Oleh itu beliau ingin hadir sendiri ke Menara Kuala Lumpur untuk melihat keberadaan kapsul masa tersebut.
“Susulan itu, pihak MKLSB telah mengusulkan agar Dr. Mahathir membuka sendiri kapsul masa tersebut, memandangkan ia sepatutnya dibuka pada tahun 2020, mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan,” katanya.
Katanya, orang ramai terutama bekas warga MKLSB dijemput untuk bersama-sama meraikan majlis berkenaan dan menyaksikan detik penuh simbolik pembukaaan kapsul masa tersebut. – KOSMO! ONLINE