BANGI – “Ini masa yang kritikal, kita tak tahu apa yang berlaku di dalam (kamar mahkamah).
Itu maklum balas penyanyi, Zehra Zambri berhubung sebutan pertama kes permohononan perceraian terhadap suaminya, Nur Mohd Iqwan Samsudin di Mahkamah Syariah Rendah Hulu Langat, di sini hari ini.
Enggan mengulas lebih lanjut, bekas peserta Gegar Vaganza musim 11 (GV11) itu meminta sebarang pertanyaan dikemukakan selepas prosiding.
Begitupun, bekas wartawan penyiaran berkenaan menyerahkan kepada peguamnya untuk memberi kenyataan.
“Biar peguam saya yang jawab. Apa pun kita tunggu selepas prosiding,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditemani bapanya, Zambri Ahmad dan seorang adik lelaki, Zehra, 37, yang tiba di mahkamah sekitar pukul 8.35 pagi hadir mengenakan pelitup muka dan berjubah jingga.
Mengikut laporan media, Zehra memfailkan perceraian pada 7 Mac lalu.
Sebelum ini, dia dan suaminya dikatakan sepakat bercerai secara ‘fast track’ tetapi perkara tersebut hakikatnya tidak dipersetujui lelaki terbabit.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd. Effendi pada 14 Oktober 2017, namun rumah tangga mereka hanya bertahan enam bulan.
Iqwan pula mempunyai dua cahaya mata daripada perkahwinan terdahulu. – KOSMO! ONLINE