PUTRAJAYA- Malaysia merupakan antara 75 negara yang terlibat dengan penangguhan tarif timbal balik selama 90 hari dilaksanakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengumuman penangguhan tarif itu memberi kelegaan kepada Malaysia.
“Malaysia terlibat (penangguhan tarif), melegakan sebentar,” katanya ringkas ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air di sini sebentar tadi.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mempertimbangkan penangguhan 90 hari berhubung tarif timbal balik ke atas lebih 75 negara rakan dagang.
Lebih 75 negara menerima penangguhan selama tiga bulan dari tarikh akhir yang akan menyebabkan dikenakan tarif melebihi kadar asas 10 peratus dengan sebahagian negara dijangka berdepan kadar lebih tinggi.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump dilaporkan berkata, keputusan penangguhan itu dibuat selepas menerima permintaan daripada negara-negara terbabit yang ingin berunding mengenai isu berkaitan perdagangan, halangan perdagangan, tarif, manipulasi mata wang dan bentuk tarif bukan monetari.
Trump turut memuji negara-negara terlibat yang menurutnya tidak bertindak balas dalam apa juga cara terhadap AS.- KOSMO! ONLINE