KUALA LUMPUR – Pelan induk bagi pembangunan Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) dijangka mampu menarik minat pelabur global dalam usaha mencapai sasaran pelaburan berjumlah RM72 bilion dalam tempoh 25 tahun akan datang.
Penyediaan pelan tersebut dibuat susulan hasil kajian kebolehlaksanaan bagi projek berkenaan yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah, melibatkan geran bernilai RM9.5 juta
Kajian komprehensif berkenaan, yang menilai daya tarik Perak dan Malaysia amnya dalam sektor maritim dan perindustrian mengenal pasti beberapa faktor utama, antaranya kewujudan industri sedia ada di Lumut, ketersediaan sumber semula jadi, tenaga kerja berkemahiran serta sokongan padu daripada kerajaan negeri.
Salah satu usaha yang dirancang ialah membangunkan kluster perindustrian seluas lebih 23,000 ekar di sekitar daerah Manjung untuk memanfaatkan aset-aset sedia ada yang unik.
Kluster itu tersebar meliputi tujuh kawasan, merangkumi pelbagai taman perindustrian yang dioptimumkan untuk aktiviti tertentu seperti logistik, industri pembuatan, dan teknologi hijau serta penggunaan tanah secara mampan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan LuMIC berpotensi mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan, di samping membuka ruang baharu kepada usahawan serta peniaga tempatan.
“LuMIC selari dengan visi Perak Sejahtera 2030 dan kami yakin inisiatif ini akan memainkan peranan penting dalam menjana kesan ekonomi yang positif melalui pembangunan dan bakat tempatan, perluasan akses ke pasaran global serta peningkatan keterhubungan,” katanya dalam majlis yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, LuMIC bulan sekadar pelabuhan, sebaliknya ia merupakan projek pembangunan kawasan perindustrian berasaskan maritim.
Jelasnya, terdapat banyak kawasan perindustrian berkonsepkan sama wujud di negara Jepun dan rantau Amerika Selatan, yang mana perkhidmatan maritim menyediakan sokongan diperlukan kepada pemain industri yang terletak di kawasan sama.
“LuMIC turut memperkukuh infrastruktur awam termasuk sistem pengangkutan dan kemudahan pendidikan, yang secara langsung meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Kami sudah memulakan siri promosi di peringkat global terutama di Eropah serta Asia, buat masa ini seperti kebanyakan kes pelaburan, perbincangan belum boleh didedahkan namun saya percaya dengan kerjasama serta sokongan semua pihak ini akan menjadi satu pelan hala tuju yang tepat,” katanya. – KOSMO! ONLINE