ISKANDAR PUTERI – Juara liga musim ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol apabila membelasah 9-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Mesin gol JDT, Bergson Da Silva muncul pemusnah buat skuad kendalian Rezal Zambery Yahya apabila mencetak lima gol pada separuh masa pertama permainan.
Ayam tambatan JDT itu membuka jaringan seawal minit kelapan setelah menerima hantaran silang Park Junheong sebelum melepaskan rembatan lerek menewaskan penjaga gol, Mohammad Fikri Che Soh.
Bersambung babak kedua, anak buah Hector Bidoglio itu hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk menjaringkan gol keenam perlawanan yang dijaringkan oleh Morales.
Romel menambah jaringan peribadinya tiga minit berselang berpunca daripada gerakan satu dua antara Bergson dan Rodriguez sebelum mudah menolak masuk hantaran pemain kelahiran Sepanyol itu.
Pemain veteran JDT, Safiq Rahim yang dibawa masuk pada 10 minit terakhir permainan menambah derita buat pasukan pelawat apabila meledak gol kesembilan perlawanan apabila memanfaatkan umpanan Mohamadou Sumareh pada minit ke-84. – KOSMO! ONLINE