MANCHESTER – Saingan Liga Europa menjadi sasaran yang sangat penting buat Manchester United kerana ia menjadi satu-satunya peluang untuk menyelamatkan maruah mereka musim ini yang tercalar teruk.
Berdepan Olympique Lyon pada aksi suku akhir pertama di Stadium Groupama awal pagi esok United terdesak untuk meraih kemenangan sebelum kembali beraksi di Old Trafford pada perlawanan kedua dan memastikan tempat ke pentas separuh akhir.
Kemaraan ke kelompok empat pasukan terbaik, menempah slot final dan memenangi kejuaraan tersebut menjadi matlamat utama United apabila ia dilihat sebagai satu-satunya cara untuk beraksi di pentas Eropah musim depan selepas berada di kelompok 10 pasukan terbawah musim ini.
Kejayaan menjulang kejuaraan tersebut juga dapat membantu United meningkatkan dana menerusi wang hadiah penyertaan dan kemenangan sekali gus membina skuad kendalian Ruben Amorim musim depan.
“Ia bukanlah paling penting buat United kerana kami banyak lagi perkara yang perlu dilakukan. Namun, melihat kepada situasi musim ini, Liga Europa sangat penting buat kami ketika ini.
“Kami mampu ke pentas Liga Juara-Juara musim depan, kami mampu menyelamatkan musim memalukan ini dengan memenangi satu piala dan kami akan melakukan apa sahaja untuk memastikan kemaraan ke pusingan seterusnya,” kata Amorim.
Kegagalan United untuk beraksi di pentas Eropah musim depan menyebabkan mereka diunjurkan bakal mengalami kerugian sehingga £100 juta (RM573 juta) sekali gus menyebabkan mereka berdepan kesulitan apabila ruang berbelanja menjadi semakin sempit ekoran Peraturan Kewangan Adil (FFP).
United sebelum ini berjaya mempamerkan aksi meyakinkan apabila membenam cabaran Real Sociedad 5-2 secara agregat pada pusingan kalah mati, namun kegagalan menjaringkan gol pada dua aksi terakhir dilihat meresahkan.
Keputusan terikat tanpa jaringan menentang Manchester City di Old Trafford Ahad lalu dan kekalahan 0-1 ketika berdepan Nottingham Forest menyebabkan United perlu bekerja keras untuk membawa pulang bekalan selesa menjelang aksi pertama menentang Lyon. – AGENSI