LONDON – Sepasang kekasih di England dikenal pasti sebagai penipu selepas meletakkan butir kaca di dalam makanan mereka sebagai helah untuk makan secara percuma, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kejadian berlaku di Restoran San Marino, bandar Widnes pada Sabtu lalu.
Perbuatan itu terbongkar selepas kakitangan restoran melihat semula rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.
Dalam rakaman itu, seorang lelaki mengeluarkan sebutir kaca daripada poket seluarnya sebelum diberikan kepada teman wanitanya untuk diletakkan ke dalam makanan.
Mereka kemudian memanggil pelayan lalu berpura-pura marah dengan kehadiran kaca tersebut.
Pengurus restoran, Miraz Yolcu berkata, wanita itu sempat mengadu bahawa kaca berkenaan hampir merosakkan rawatan giginya yang mahal.
“Pasangan itu enggan membayar bil berjumlah £64.85 (RM375). Mereka juga cuba mendapatkan pampasan sebelum beredar,” tambah Yolcu.
Yolcu turut berkongsi rakaman tersebut di laman Facebook dan membuat laporan kepada Polis Cheshire. – AGENSI