SINGAPURA – Seorang lelaki Malaysia berusia 38 tahun menyerang seorang pemandu bas wanita di Singapura kerana kecewa dia terpaksa menunggu bas selama 11 minit, lapor portal berita MSNews hari ini.
Lelaki berkenaan dijatuhi hukuman penjara enam minggu selepas mengaku bersalah di mahkamah pada Isnin lalu.
Kejadian berlaku pada 21 Januari lalu, kira-kira pukul 8 pagi ketika tertuduh, Looi Kai Ye sedang menunggu bas di perhentian berhampiran Blok 141, Tampines Avenue 2.
Selepas 11 minit menunggu, Looi semakin kecewa.
Semasa bas tiba, dia menjadi marah, menjerit kepada pemandu bas berusia 47 tahun itu sebelum menumbuk kepala wanita itu sekurang-kurangnya enam kali.
Seorang penumpang lain campur tangan dengan menariknya keluar daripada bas.
Looi ditangkap pada hari berikutnya, didakwa dan dirujuk kepada Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk penilaian psikiatri. – AGENSI