TAPAH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan tiga fasa strategik berhubung insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada 1 April lalu.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ketiga-tiga fasa itu merangkumi kerja-kerja penyelamatan, pemulihan sebelum fasa terakhir yang paling sukar iaitu pembinaan dan baik pulih 219 kediaman penduduk yang terjejas.
“Fasa pertama iaitu kerja-kerja penyelamatan sudah siap. Fasa kedua pada hujung minggu ini (Sabtu dan Ahad), kita akan kerahkan lebih 2,000 orang (kakitangan) SWCorp, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor untuk kerja-kerja pembersihan.
“Fasa terakhir pembinaan yang paling sukar kerana 219 rumah hangus dan perlu baik pulih segera,” katanya kepada pemberita pada Program Sentuhan Kasih 3.0 KPKT di Pasar Awam Tapah Road di sini hari ini.
Menurut beliau, pelan tindakan kerja-kerja pembinaan telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menerusi Nota Khas Jemaah Menteri.
“Kita akan membuat pengumuman secepat mungkin setelah saya berbincang dengan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) dan Petronas. – KOSMO! ONLINE