SUBANG JAYA – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan mengadakan program gotong-royong mega pada Sabtu dan Ahad ini di kawasan perumahan penduduk yang terjejas dalam insiden letupan dan kebakaran paip gas di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, inisiatif itu melibatkan semua agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan.
“Bagi NGO dan sukarelawan yang ingin melibatkan diri, mereka perlu berdaftar dengan Selangor Volenteers di bawah Majlis Sukan Negeri kerana akses ke kawasan tersebut adalah terhad.
“Di ‘ground zero’ kami telah tandakan kawasan itu dan tidak dibenarkan masuk. Hanya kawasan yang dipastikan selamat akan dibenarkan masuk,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Hussein berkata, hanya Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights beroperasi ketika ini yang menempatkan 361 mangsa daripada 95 buah keluarga.
Sementara itu, pihak polis turut mengesahkan membuka kertas sisatan berhubung dakwaan terdapat mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
“Terdapat laporan daripada Pusat Perubatan Daerah berkenaan hal ini yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Ia disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan keana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Media 1998,” katanya. – KOSMO! ONLINE.