SUBANG JAYA – Sebanyak 301 daripada 437 buah rumah yang terjejas dalam kejadian letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini pada 1 April lalu disahkan selamat untuk diduduki semula.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu disahkan selepas pemeriksaan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke atas struktur kediaman tersebut.
“Pemeriksaan yang dilakukan bagi saya mencukupi, struktur rumah terlibat selamat untuk diduduki dan dibaik pulih semula.
“Daripada jumlah keseluruhan 437 rumah, sebanyak 301 rumah didapati selamat untuk diduduki semula selepas pihak JKR menggunakan teknologi terkini bagi memastikan keselamatan struktur bangunan terlibat.
“Jika pemilik atau penghuni rumah mendapati ada kerosakan atau keadaan rumah tidak boleh dibaiki, kita akan buka satu kaunter aduan di sini.
“Kaunter itu bersedia menerima laporan dan akan dikelolakan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ),” katanya pada sidang akhbar di Putra Heights hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak 755 laporan daripada mangsa yang terlibat dalam kejadian bencana tersebut.
Katanya, laporan itu adalah berkaitan kerosakan kediaman, kenderaan terbakar dan kecederaan mangsa.
“Tiada laporan lain yang kami terima buat masa ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE.