PETALING JAYA – Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengesahkan jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik dipilih untuk menjadi pengendali Asean All Stars menentang Manchester United dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 28 Mei depan.
Sang-sik dianggap sebagai salah seorang jurulatih terbaik Asia Tenggara ketika ini selepas membantu Vietnam menjulang trofi Piala Asean edisi 2024 yang lepas.
Kata Sang-sik, peluang untuk memimpin pasukan menentang kelab ternama seperti The Red Devils sukar untuk dilepaskan.
“Saya teruja apabila bakal menjadi jurulatih untuk memimpin barisan pemain terbaik Asean beraksi menentang kelab yang cukup besar.
“Misi kita bukan sahaja untuk mewakili pasukan, malah menunjukkan kepada dunia kekuatan bola sepak serantau,” katanya.
Kehadiran United ke Kuala Lumpur menamatkan penantian hampir 16 tahun penyokong setia apabila kali terakhir beraksi di Malaysia pada 2009 juga di venue yang sama.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan United awal minggu ini, pasukan itu akan terus terbang ke Asia selepas musim EPL berakhir dengan menentang Asean All Stars sebelum bertemu Hong Kong di Hong Kong pada 30 Mei depan.
Tiket yang mula dijual di atas talian bermula hari ini serendah RM50 untuk tempat duduk biasa hingga mencecah RM1,500 bagi kerusi VIP. – KOSMO! ONLINE