LONDON – Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti menganggap kekalahan 0-3 kepada Arsenal pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Emirates awal pagi semalam meletakkan pasukannya pada titik paling rendah musim ini.
Pengendali berusia 65 tahun itu juga terpaksa mengakui peluang Real yang juga juara Eropah sebanyak 15 kali mempertahankan kejuaraan dengan melangkah ke separuh akhir UCL musim ini seakan makin tipis.
Bagaimanapun, bagi menghidupkan harapan, Ancelotti merasakan gergasi La Liga itu ketika ini memerlukan detik keajaiban pada perlawanan timbal balik di gelanggang sendiri, Santiago Bernabeu minggu depan.
“Kebiasaannya pasukan ini akan meningkatkan permainan mereka, namun apa yang berlaku kali ini agak mengecewakan dan tidak menepati harapan.
“Kami perlu jadi lebih kritikal dan lakukan apa sahaja pada aksi minggu depan jika mahu meneruskan perjuangan dalam kejohanan ini,” katanya.
Terdahulu, Declan Rice muncul pemain paling menyinar apabila mempamer magis sensasi dengan dua gol menerusi dua sepakan percumanya buat Arsenal diikuti satu lagi jaringan daripada Mikel Merino.
Keputusan itu menyaksikan Real masih belum berjaya mencatat kemenangan ke atas Arsenal dalam tiga pertemuan terakhir selepas seri tanpa jaringan dan tewas 0-1 sewaktu dua aksi peringkat 16 terbaik UCL pada edisi 2006.
Bagaimanapun, sejarah pernah menunjukkan bahawa Real mampu menghadirkan kebangkitan luar biasa khususnya ketika bermain di Santiago Bernabeu.
“Kemungkinan yang ada sekarang agak rendah tetapi kami perlu mencuba 100 peratus. Kami kena buat apa yang termampu dan ini adalah peluang untuk tunjukkan reaksi balas,” tambah Ancelotti. – AGENSI