ROMPIN – Seorang guru wanita maut selepas kereta jenis Perodua Bezza dipandunya bertembung dengan sebuah lori membawa muatan sawit di Kilometer 104 Jalan Kuantan-Segamat di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu berlaku ketika mangsa, Maryam Nabilah Muzammil,26, dalam perjalanan dari arah Segamat ke arah Muadzam Shah.
“Berdasarkan siasatan awal apabila sampai di tempat kejadian kereta dipandu mangsa masuk le laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori jenis Scania yang membawa muatan sawit.
“Akibat kemalangan menyebabkan pemandu kereta Perodua Bezza meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa di bawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Saksi yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Rompin di talian 0199169509 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE