fbpx

Guru cemerlang didakwa ‘sentuh’ murid lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis membawa Rozaidi (tengah) untuk didakwa atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO ROSALWANI CHE SOH

KOTA BHARU – Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang juga merupakan muridnya di Bachok dekat sini sejak hujung tahun lalu.

Tertuduh, Rozaidi Ab. Ghani, 46, yang masih bujang bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah didakwa dengan maksud seksual melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.

Perbuatan terkutuk itu dilakukan antara hujung tahun 2024 hingga 27 Mac lalu di dalam bilik tidur sebuah rumah di Bachok dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Ghazali. Terdahulu Ahmad Faiz mencadangkan jaminan RM12,000 bagi setiap pertuduhan.

Azura kemudian memohon jaminan paling minimum memandangkan anak guamnya sudah berkhidmat selama 17 tahun sebagai guru dan pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 2018.

“Tertuduh juga tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib atau terlibat jenayah lampau. Anak guam saya turut menjaga ibunya yang berusia 78 tahun yang uzur dan lumpuh,” ujarnya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melaporkan diri setiap awal bulan di balai polis berdekatan.

Mahkamah turut menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI