SAMBUTAN Aidilfitri bukan sahaja menyaksikan percikan bunga api memancar di dada langit, bahkan turut dimeriahkan dengan kemunculan karya berapi hasil nukilan kumpulan rock terkenal, Akim & The Majistret (ATM) menerusi single terbaharu mereka berjudul Gasoline.
Bukan lagu biasa, Gasoline hadir bak semburan api semangat buat jiwa-jiwa yang kian lesu diasak pancaroba kehidupan.
Dicipta sepenuhnya anggota kumpulan itu sendiri, lagu berentak blues rock rancak tersebut menjadi permulaan kepada album baharu mereka yang sedang giat digarap.
“Setiap hari kita perlukan tenaga dan semangat untuk hadapi kehidupan.
Gasoline mewakili semangat itu, seperti bahan api buat kenderaan yang terus meluncur walau jalan berliku,” ujar vokalis utama, Akim Ahmad.
Lama tersadai
Menurut Akim, proses mencipta lagu berkenaan bermula dengan melodi yang sudah lama ‘tersadai’ dalam simpanannya sebelum disempurnakan dengan lirik yang lebih matang dan berjiwa.
Menariknya, lirik lagu itu turut mendapat sentuhan istimewa daripada isteri tercinta, Stacy atau nama penanya, Bunga Cantik, yang turut mencurahkan rasa dalam karya berkenaan.
“Dia bantu lengkapkan rasa dan cerita dalam lirik ini. Kami mahu Gasoline jadi suara kepada mereka yang mencari kekuatan dalam hidup.
“Bukan sekadar lagu, tapi nadi semangat yang menyala dalam diri pendengar,” dedahnya.
Dari aspek susunan muzik, semua anggota ATM memberi sentuhan masing-masing.
Lagu berkenaan turut menjalani proses rakaman gitar khas di studio peribadi milik gitaris mereka, menjadikan keseluruhan naskhah begitu rapi dan berjiwa.
“Nuansa Gasoline berbeza daripada karya-karya kami sebelum ini. Bunyinya masih ATM, tapi lebih matang, lebih berani dan lebih menyengat,” jelasnya.
Tidak hanya terhenti pada pelancaran lagu, ATM turut memanjakan peminat menerusi peraduan istimewa sempena Gasoline.
“Kami tak letak harapan tinggi, cukup jika lagu ini dapat menjentik hati dan jadi penyuluh semangat kepada mereka yang mendengar.
“Itu sudah memadai,” kata Akim, merendah diri, namun penuh pengharapan.
Gasoline sudah pun tersedia dalam semua platform penstriman muzik bermula 30 Mac 2025, manakala video muzik rasmi pula boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari sama.
Dengan melodi menyengat, lirik membakar jiwa dan susunan muzik yang padu, Gasoline bukan sekadar lagu sebaliknya api nyala semangat buat yang masih berdiri, walau dalam perit hidup menghimpit.