PASIR PUTEH – Cubaan sindiket untuk menyeludup sebanyak 1.2 juta rokok yang bernilai RM888,000 termasuk cukai melalui jalan laut gagal selepas kegiatan itu dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan di Sungai Pengkalan Ekor Pasir, Pasir Mas dekat sini kelmarin.
Kesemua rokok itu dan tujuh buah kenderaan termasuk dua motosikal yang dipercayai digunakan untuk mengangkut barangan tersebut dirampas dalam serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 4.15 pagi.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, APMM pada awalnya mengesan sebuah bot pancung yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di muara Sungai Kelantan di daerah tersebut.
Menurutnya, bot peronda APMM digerakkan ke lokasi tersebut bagaimanapun gagal mengesan bot berkenaan apabila pengemudinya sempat meloloskan diri selepas diekori sejauh lebih 14 kilometer dari muara ke kawasan terpencil.
“Semasa mengejar bot itu, anggota APMM menjumpai longgokan 90 buah kotak yang berisi rokok seludup di tebing Sungai Pengkalan Ekor Pasir di Tendong, Pasir Mas.
“Selain itu, lima buah kenderaan iaitu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina, dua buah Perodua Alza, sebuah Proton Exora dan sebuah Perodua Kancil dengan setiap kenderaan tersebut berisi rokok seludup turut ditemukan di kawasan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM Kelantan di Tok Bali di sini hari ini.
Erwan Shah memberitahu, dua buah motosikal yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan rokok itu turut dirampas.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di lokasi itu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 24 tahun yang sedang bersembunyi di kawasan belukar. – KOSMO! ONLINE