PETALING JAYA – Kejohanan sukan tempur Fury Championship bakal memulakan aksi sulungnya menjelang pertarungan yang dijadualkan berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur pada 2 Mei depan.
Apa yang menarik, kejohanan itu akan mempertaruhkan petarung-petarung yang terdiri daripada petarung profesional dan amatur, pempengaruh serta selebriti.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga pengasas, Mohd. Wafiy Ilhan Johan berkata, idea untuk mewujudkan kejohanan itu adalah hasil daripada minat mendalam terhadap sukan tempur.
Justeru, beliau dan pengasas bersama, Mohamad Faizal Ahmad menjadikan ONE Championship sebagai inspirasi dan sedia mengangkat Fury Championship ke tahap lebih tinggi.
“Matlamat kami adalah untuk merangsang sukan tempur di Malaysia dengan menghimpunkan bakat-bakat menarik yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
“Sama ada anda merupakan peminat tegar (sukan tempur) ataupun sekadar mencari hiburan, Fury Championship pastinya akan memberikan pengalaman yang tidak boleh dilupakan,” kata Wafiy.
Menjelang edisi pertama 2 Mei depan, aksi yang menjadi tumpuan pastinya pertarungan antara Kabilan Jelevan mewakili Malaysia menentang Oky Arema dari Indonesia.
Bagi kategori wanita pula, atlet muay thai negara, Nur Amisha Azrilrizal akan menggalas misi berdepan jaguh seni bela diri campuran (MMA) Indonesia, Nurul Azizah.
Sementara itu, Faizal yang juga Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) menjelaskan, Fury Championship bukanlah aksi pertarungan semata-mata kerana mereka memiliki visi tersendiri.
“Fury bukan sekadar malam pertarungan tetapi sebuah gerakan untuk mengembangkan sukan (tempur) ini. Ini adalah pengiktirafan kepada semua petarung,” ujarnya yang lebih dikenali sebagai Jaasuzuran. – KOSMO! ONLINE