PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan menerusi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kepada dua tajuk penerbitan berkuat kuasa 10 Mac lalu.
KDN dalam satu kenyataan berkata, pewartaan itu penting bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan keharmonian masyarakat.
“Oleh itu, KDN mewartakan Perintah Larangan bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi dua tajuk penerbitan melalui warta kerajaan antaranya The Goal of The Wise: The Gospel of The Riser of The Family of Mohammed oleh Abdullah Hashem kerana mungkin memudaratkan ketenteraman awam.
“Selain itu, ia melibatkan penerbitan bertajuk Suka Duka Perjalanan Dhul-Qarnain/ Cyrus The Great dan Iskandar Agung kerana mungkin memudaratkan kepentingan awam,” katanya hari ini.
KDN berkata, Tindakan Perintah Larangan bagi kedua-dua hasil penerbitan berkenaan adalah
selaras dengan peruntukan bawah subseksyen 7(1) Akta 301.
Katanya, ia menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan tersebut yang mungkin memudaratkan ketenteraman atau kepentingan awam dilarang secara mutlak di Malaysia.
“Perintah Larangan bawah Akta 301 ini berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku.
“Dalam masa yang sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil-hasil penerbitan yang tidak diingini dan tidak sesuai untuk bacaan umum,” jelasnya.
Untuk rekod, subseksyen 8(2) Akta 301 memperuntukkan mana-mana individu yang melalukan kesalahan bawah akta itu boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE