KUCHING – Dua maut, seorang parah dan dua cedera dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Jalan Tun Jugah, berhadapan sebuah pusat komersial di sini tengah malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata kejadian yang dilaporkan pada pukul 12.40 malam itu berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun yang datang dari arah pusat bandar menghala ke Jalan Lapangan Terbang hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
Menjelas lanjut, beliau berkata kenderaan itu kemudian melanggar sebuah kereta lain yang dipandu lelaki berusia 40 tahun bersama seorang penumpang perempuan berusia 14 tahun yang datang dari arah bertentangan.
Katanya sejurus kemalangan tersebut, sebuah lagi kereta yang dipandu lelaki berusia 25 tahun datang dari arah jejambat Kenyalang lalu melanggar kenderaan pertama yang terbabas di tengah jalan serta pemandu dan penumpang kenderaan kedua yang cuba membantu pemandu kenderaan pertama terbabit.
Merbin berkata akibat perlanggaran itu, kenderaan ketiga terbabit telah hilang kawalan dan terbabas ke arah kiri jalan lalu melanggar sebuah lagi kereta yang dipandu lelaki berusia 36 tahun, yang sedang berhenti di bahu kiri jalan untuk membantu mangsa kemalangan.
“Dalam kemalangan ini, dua mangsa maut di tempat kejadian iaitu pemandu kenderaan pertama dan pemandu kenderaan kedua. Penumpang kenderaan kedua pula mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak.
“Manakala pemandu kenderaan ketiga dan keempat hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.-KOSMO! ONLINE