WASHINGTON – Sepasukan doktor mengenal pasti ‘jantung kedua’ yang wujud dan bersembunyi di dalam badan manusia, lapor laman berita MailOnline semalam.
Mereka menemui jantung kedua itu yang merupakan aorta iaitu arteri terbesar dalam badan manusia. Aorta, kata mereka, bertindak seperti jantung kedua untuk membantu ‘mengepam’ darah sekali gus meringankan beban kerja jantung utama.
Selama beberapa dekad, bahagian badan itu dianggap pasif dan hanya berfungsi melalukan darah beroksigen daripada jantung ke seluruh badan.
Namun, buat buat pertama kali, pasukan pakar dari Universiti of Southern California mengenal pasti fungsi sebenar aorta.
Saintis-saintis kini mengetahui bahawa aorta sebenarnya turut membantu jantung mengepam darah.
“Ini (corak pengepaman seperti gelombang) mungkin menyediakan mekanisme pengepaman tambahan kepada jantung bagi membantu mengurangkan beban kerjanya. Penemuan ini boleh membantu dalam merawat pesakit yang mengalami masalah jantung seperti kegagalan jantung,” kata pasukan penyelidik itu. – AGENSI