KOTA BHARU – Dana sebanyak RM100,000 disumbangkan oleh Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited (Hibiscus Petroleum) untuk program Drug-Free Living & Hygiene dalam usaha memberi kesedaran mengenai gaya hidup sihat tanpa dadah di Kelantan.
Pengerusi Hibiscus Petroleum, Zainul Rahim Mohd. Zain berkata, peruntukan itu bakal memberi manfaat kepada 500 penduduk terutama di Pasir Puteh dalam tempoh setahun.
Katanya, program itu turut melibatkan kerjasama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang dilancarkan awal bulan ini.
“Aktiviti yang diadakan antaranya Kempen Pencegahan Dadah dan Sesi Kaunseling bersama Angensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Program Rekreasi Komuniti, Pembersihan dan Kitar Semula selain program Duta Belia dan Bengkel Kemahiran Hidup,” katanya pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Hibiscus Petroleum di sini hari ini.
Zainul Rahim memberitahu, program ‘Drug-Free Living and Hygiene’ julung kalinya diadakan dan akan diteruskan pada masa akan datang sekiranya memberi impak positif.
Katanya, Hibiscus Petroleum komited untuk memberi semula manfaat kepada komuniti apabila lebih 40,000 individu dibantu hasil inisiatif syarikat termasuk bidang kesihatan, pendidikan dan alam sekitar sepanjang tahun lalu. – KOSMO! ONLINE