KAJANG – Kehadiran Litar Karting Antarabangsa LYL dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2025 membuka dimensi baharu buat sukan permotoran tanah air dengan perancangan untuk menganjurkan perlumbaan pada waktu malam.
Litar moden terletak di Sungai Long, Kajang, Selangor itu bukan sahaja menawarkan trek mencabar, malah turut dilengkapi lampu limpah serta fasiliti serba lengkap yang diyakini mampu menghidupkan suasana perlumbaan malam.
Bagaimanapun, hasrat itu masih dalam peringkat perbincangan dengan penganjur, Safe Aim Mutual (SAM) mahu memastikan semua aspek terutama keselamatan para penonton dan pengurusan acara berada di tahap terbaik sebelum perlumbaan malam direalisasikan.
“Kita ada perancangan untuk adakan perlumbaan malam di litar ini tetapi bukan musim ini. Banyak perkara perlu diperhalusi membabitkan persediaan teknikal dan juga keselamatan penonton.
“Bukan sekadar perlumbaan itu sendiri, tetapi suasana sekeliling dan kemudahan untuk orang awam juga diambil kira. Jadi tahun ini kita anggap sebagai percubaan dan penilaian.
“Kalau semua berjalan lancar, perlumbaan malam mungkin dapat dilaksanakan pada musim depan,” kata Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Musim 2025 Kejuaraan Cub Prix Malaysia hari ini.
Musim 2025 menyaksikan 10 pusingan bakal berlangsung di beberapa venue terpilih termasuk Litar Antarabangsa Sepang, Litar Tangkak, Litar Permotoran Terengganu dan kemunculan sulung Litar Karting LYL.
Aksi pembuka tirai musim 2025 dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Utara) dari 19 hingga 20 April ini, manakala Litar Karting Antarabangsa LYL bakal menganjurkan Pusingan 3 pertengahan Jun nanti. – KOSMO! ONLINE