fbpx

Bukankah malam Aidilfitri malam menggembirakan? – Pendakwaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zulfika ketika keluar dari Mahkamah Majistret hari ini. Foto oleh M.Firdaus M.Johari/Kosmo!

AMPANG – Seorang pengawal keselamatan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencederakan seorang lelaki dalam kejadian pada malam Aidilfitri lalu.

Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Zulfika Abdul Rahman, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Sekiranya gagal membayar denda, lelaki itu boleh dipenjara selama sebulan. Tertuduh membayar denda tersebut.

Tertuduh bersama lapan lagi yang masih bebas adalah ahli kumpulan yang menyalahi undang-undang didakwa mencederakan mangsa berusia 38 tahun di hadapan sebuah rumah di Taman Sri Keramat di sini pukul 11.30 malam, 30 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Wan Nur Afifah Che Bakar memohon denda yang minimum dengan alasan anak guamnya menanggung seorang isteri dan dua anak berusia dua dan empat tahun.

“Anak tertuduh yang berusia empat tahun merupakan autistik. Ini merupakan kesalahan pertama dan tertuduh telah insaf dengan apa yang dilakukan,” kata peguam itu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani memohon hukuman yang setimpal dengan mengambil kira kejadian berlaku pada malam Aidilfitri.

“Bukankah malam tersebut (Aidilfitri) sepatutnya menjadi malam yang menggembirakan semua pihak? Tetapi sebaliknya berlaku apabila mangsa dicederakan dengan sengaja.

“Pihak pendakwaan juga memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam yang melebihi kepentingan tertuduh,” kata Nurhidayah.

Mengikut fakta kes, semasa mangsa didatangi kirakira 10 lelaki ketika berada di rumahnya sebelum menyerang bahagian kepala dengan buku lima dan kayu selain menendang serta memijak badan lelaki itu.

Susulan itu, mangsa mengalami kecederaan pada mata kanan dan kepala sebelum mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Sementara itu Muhammad Haziq Hezri, 23, yang turut terlibat dalam kes sama mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah membenarkan Muhammad Haziq diikat jamin RM3,000 berserta syarat tambahan dilarang mendekati mangsa dan menetapkan 16 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan enam lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian pergaduhan antara dua kumpulan yang melibatkan 10 lelaki.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, kesemua warga tempatan berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan di pekarangan Balai Polis Hulu Kelang pada 2.30 pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI