fbpx

Beto Kusyairy ‘pangkah’ babak atas katil, watak penunggang agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beto mempunyai alasan tersendiri menolak tawaran yang dirasakan tidak bersesuaian dengan dirinya.

PETALING JAYA – Aktor popular Beto Kusyairy masih kekal dengan prinsipnya menolak untuk menjayakan babak di atas katil dengan mana-mana pelakon wanita kerana mahu menjaga sensitiviti keluarga.

Menurut Beto, 45, bukan sahaja adegan ranjang, watak melibatkan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) juga masih belum menjadi pilihannya untuk dijayakan.

“Paling saya akan tolak habis-habisan sehingga hari ini ialah babak melibatkan katil. Memang tak pernah buat babak intim atau panas sebegitu selama bergelar pelakon waima merogol sekali pun.

“Kalau watak golongan LGBT, perlu tengok pada jalan cerita. Kalau pada awalnya dia teruk dan hujung cerita berubah, mungkin saya akan pertimbangkan.

“Namun, saya tetap cuba elak benda itu lagi-lagi melibatkan isu LGBT, sebab tak mahu galakkan perkara tersebut,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.

Katanya, dia tidak akan sesekali melakukan sesuatu yang menyentuh sensitiviti keluarga terutama ibu bapa dan isterinya.

“Prinsip itu saya pegang sebab nak menjaga sensitiviti keluarga.

“Sebab bila saya buat, karya itu akan jadi khazanah yang sampai bila-bila orang boleh tengok terutama dalam media sosial,” jelasnya.

Bintang filem Reversi itu juga menolak tawaran watak sebagai penunggang agama kerana enggan menjadi perosak imej golongan pendakwah.

“Satu lagi yang saya akan tolak ialah penunggang agama seperti watak ustaz scammer, makan duit anak yatim dan sebagainya.

“Saya tak mahu watak sebegitu wujudkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap ustaz yang baik-baik di luar sana.

“Nanti asalkan berjubah, orang ‘cop’ tak boleh pakai sedangkan memang seorang pendakwah,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Beto bakal muncul menerusi filem Gayong yang mengangkat warisan Melayu ke layar perak.

Menerusi filem tersebut, dia membawa watak sebagai Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abd. Rahman (ADMAR).

Gayong yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 8 Mei depan turut dibarisi pelakon popular lain seperti Syafie Naswip, Nabila Huda dan aktor filem aksi Seberang, Yayan Ruhian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI