WASHINGTON – Bandar Raya New York di Amerika Syarikat (AS) mengekalkan gelaran bandar raya terkaya di dunia dengan memiliki seramai 66 bilionair tahun ini, lapor agensi berita Anadolu kelmarin.
Menurut Laporan Bandar Raya Terkaya Dunia 2025 yang dikeluarkan oleh Henley & Partners dengan kerjasama New World Wealth, bandar raya tersebut turut mempunyai 384,500 jutawan dan 818 jutawan centi.
Mereka yang mempunyai kekayaan AS$100 juta (RM449 juta) atau lebih dikategorikan sebagai jutawan centi.
Di belakang Bandar Raya New York ialah Bay Area yang merangkumi San Francisco dan Silicon Valley dengan mempunyai 342,400 jutawan.
Wilayah itu kini didiami oleh 82 bilionair, mengatasi Bandar Raya New York dalam kategori tersebut.
Populasi jutawan di Bay Area telah berkembang sebanyak 98 peratus dalam dekad yang lalu, mencerminkan kedudukannya sebagai hab untuk penciptaan kekayaan teknologi.
Sementara itu, didorong oleh pemulihan kukuh dalam Indeks Nikkei 225 dalam tempoh dua tahun lalu, Tokyo di Jepun menduduki tempat ketiga dengan 292,300 jutawan, manakala Singapura di tempat keempat dengan 242,400 jutawan.
Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) naik ke tangga ke-18 apabila mempunyai 81,200 jutawan, menandakan peningkatan 102 peratus berbanding dekad yang lalu.
Bandar raya Shenzhen di China yang menduduki tangga ke-28 mencatatkan pertumbuhan terpantas di seluruh dunia dengan peningkatan 142 peratus dalam populasi jutawannya.
London dan Moscow adalah dua bandar raya dalam kalangan 50 teratas yang mencatatkan penurunan dalam populasi jutawan sepanjang dekad lalu dengan penurunan masing-masing sebanyak 12 peratus dan 25 peratus. – AGENSI