KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai menepati status sebagai pilihan ketiga apabila meneruskan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China.
Pada aksi pusingan kedua di Pusat Sukan Olimpik Ningbo hari ini, pasangan No.3 dunia itu menyingkirkan beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran menerusi keputusan straight set 21-17, 21-14.
Kemenangan itu pastinya memberi suntikan semangat buat Soon Huat-Shevon memandangkan dapat menebus kekalahan kepada pasangan Thailand tersebut pada pertemuan terakhir mereka di Terbuka Switzerland bulan lalu.
“Saya gembira dan bersyukur untuk perlawanan hari ini kerana kami dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Situasi itu sekali gus dapat membantu kami untuk menampilkan aksi lebih konsisten.
“Sekarang kami hanya perlu fokus dan melakukan persiapan sebaiknya untuk perlawanan suku akhir esok,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sejurus tamat perlawanan.
Perlawanan hari ini turut menyaksikan bekas juara Malaysia Masters berkenaan menguasai sepenuhnya permainan apabila langsung tidak membenarkan beregu Thailand tersebut untuk mendahului aksi kedua-dua set.
Pencapaian kali ini boleh dianggap sebagai satu peningkatan cukup ketara dipamerkan Soon Huat-Shevon memandangkan mereka tersingkir seawal pusingan pertama pada saingan BAC musim lalu.
Menanti Soon Huat-Shevon di pusingan suku akhir esok adalah beregu Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu yang menewaskan Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui dari Taiwan dengan 21-9, 21-7.
Sementara itu, hasrat perseorangan lelaki negara, Justin Hoh untuk melakar kejutan tidak kesampaian apabila tewas straight set 13-21, 19-21 kepada juara bertahan dari Indonesia, Jonatan Christie.
Turut tersingkir adalah perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei yang terpaksa akur dengan kekalahan 15-21, 16-21 kepada Supanida Katethong dari Thailand. – KOSMO! ONLINE