KUALA LUMPUR – Dua beregu lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus menggalas misi pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 selepas mara ke suku akhir.
Pada pusingan kedua yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China hari ini, Sze Fei-Izzuddin meneruskan kemaraan selepas membenam cabaran beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Kittinupong Kedren 21-18, 22-20.
Kemenangan itu sekali gus membolehkan gandingan profesional berkenaan menebus kekalahan mereka di tangan pasangan lawan ketika tewas pada pusingan pertama Terbuka Denmark tahun lalu.
Turun dengan status sebagai pilihan utama kejohanan, Sze Fei-Izzuddin dilihat berada dalam landasan terbaik untuk mengulangi pencapaian musim lalu di mana mereka berjaya melangkah ke pentas final sebelum muncul naib juara.

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik pula menyingkirkan Hariharan Amsakarunan-R.K. Rethinasabapathi dari India, juga dengan aksi straight set 21-15, 21-14 dalam tempoh 37 minit.
Bekas juara dunia itu semakin hampir untuk mengulangi pencapaian pada edisi tahun lalu di mana mereka berjaya melangkah ke separuh akhir sebelum tewas kepada Sze Fei-Izzuddin.
Menjelang aksi suku akhir esok, Sze Fei-Izzuddin akan berdepan wakil tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi manakala Aaron-Wooi Yik bertemu Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.
Nasib berbeza dialami dua lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Wan Arif Junaidi-Yap Roy King apabila kempunan untuk melangkah ke suku akhir selepas tewas kepada lawan masing-masing. – KOSMO! ONLINE