fbpx

Anwar terima kunjungan hormat Gabenor Guangxi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar menerima kunjungan hormat Tianli di pejabatnya di Putraya, pagi tadi. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Gabenor Guangxi, Lan Tianli dan delegasi di pejabatnya di Putrajaya pagi tadi.

Anwar berkata, lawatan berkenaan mencerminkan hubungan mendalam dan terjalin lama antara Malaysia dan China terutama dengan Guangxi sebagai rakan wilayah penting.

Menurutnya, China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-16 berturut-turut pada 2024 dengan jumlah dagangan mencecah AS$106.04 bilion (RM484.12 bilion), manakala Guangxi sebagai pintu masuk China ke ASEAN memainkan peranan penting memudahkan perdagangan dan pelaburan dua hala.

“Saya maklumkan Malaysia menantikan Lawatan Negara Presiden Xi Jinping yang dijadualkan pada 15 hingga 17 April ini.

“Justeru, kami turut bertukar pandangan antaranya berhubung potensi perdagangan dua hala meliputi ASEAN termasuk pengukuhan kerjasama kecerdasan buatan (AI) dan digital,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai sasaran untuk menjadi hab kepimpinan AI serantau dan menjemput perusahaan AI terkemuka China untuk mempertimbangkan bagi menubuhkan ibu pejabat serantau mereka di negara ini.

“Selain itu, kami turut menyentuh usaha-usaha memajukan Inisiatif ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ melibatkan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) yang terus menunjukkan kemajuan positif dengan 19 projek bernilai RM25.68 bilion diluluskan dan mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

“Sehingga kini, RM20.77 bilion direalisasikan dengan 7,572 pekerjaan diwujudkan hatta ini menunjukkan manfaat ketara kerjasama Taman Berkembar kepada ekonomi dan tenaga kerja Malaysia,” katanya.

Anwar berharap hubungan diplomatik Malaysia dan China terus berada pada tahap matang sehingga mampu menghadapi sebarang isu dan cabaran mendatang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI