PETALING JAYA – Kumpulan AmBank menawarkan kemudahan pembiayaan kepada anak syarikat Chin Hin Group Berhad (Chin Hin) iaitu Aricia Sdn Bhd (Aricia) dan Makna Setia Sdn Bhd (Makna Setia) dalam usaha mengembangkan projek pembangunan syarikat hartanah itu di Lembah Klang dan juga Malaysia Timur.
Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan Kumpulan AmBank, Christopher Yap berkata, projek pembangunan yang mendapat kemudahan pembiayaan adalah Aricia Residences @ Sungai Besi yang terdiri daripada projek kediaman moden di Sungai Besi.
Menurut beliau, projek hartanah itu melibatkan pembinaan 787 unit pangsapuri servis, pegangan bebas pertama di kawasan ini dengan unit langit dupleks tiga bilik tidur dan kemudahan terkini seperti sistem keselamatan berbilang peringkat dan teknologi rumah pintar.
Projek dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM467 juta itu dilancarkan pada suku pertama tahun ini dan bersedia untuk mentakrifkan semula kehidupan bandar kontemporari.
Selain itu, projek kedua lain pula terdiri daripada pembangunan bercampur seluas 1.38 hektar di Bandar Kinrara yang melibatkan pembangunan serbaguna bercampur dengan dua menara kediaman dan hab runcit.
“Projek ini bertujuan untuk menyediakan gaya hidup bandar yang tinggi di lokasi utama dan mengukuhkan komitmen Kumpulan Chin Hin untuk memberikan ruang kediaman bersepadu yang berkualiti tinggi,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Selain itu, kemudahan pembiayaan itu juga adalah untuk infrastruktur awam di Malaysia Timur yang mana ia penting untuk meningkatkan kesalinghubungan dan pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Aricia dan Makna Setia untuk projek-projek transformatif ini.
“Ia juga seiring dengan komitmen kami untuk memupuk pertumbuhan mampan kerana Kumpulan AmBank kekal berdedikasi untuk menyokong inisiatif yang memacu kemajuan dan mencipta nilai yang berkekalan untuk masyarakat,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE