KUALA LUMPUR – Lima warga Pakistan yang terlibat dalam membantu menyelamatkan mangsa letupan dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor kini terkenal dalam kalangan rakyat negara mereka.
Kelima-lima mereka turut menerima sijil penghargaan daripada Kedutaan Pakistan di Malaysia atas keberanian dan sikap tidak mementingkan diri sewaktu berdepan bencana dahsyat tersebut.
Pengarah Alfaro Sdn. Bhd., Farooq Ahmad berkata, kisah keberanian lima lelaki itu membantu mangsa tular di Pakistan sehingga mendapat perhatian anggota Kabinet Pakistan.
“Ramai rakyat Pakistan berasa bangga dengan mereka. Menteri Persekutuan Pakistan, Amir Muqam juga menghubungi saya bertanyakan tentang kisah mereka.
“Beliau (Amir) sangat gembira dan minta maklumkan kepadanya sekiranya lima individu tersebut pulang ke Pakistan.
“Beliau mahu bertemu dengan mereka,” katanya kepada pemberita di ibu negara hari ini.
Turut hadir lima warga Pakistan terlibat iaitu Khaista Nawab 50, Bakht Munir, 37, Amir Nawab, 48, Rafiq Ullah, 25, dan Jaafar ali, 40. Mereka merupakan pekerja kedai dan pembersihan.
Mengimbau kejadian itu, Khaista berkata, mereka menggadai nyawa terjun ke dalam sungai bagi membantu mangsa yang cuba menyeberang kerana kepanasan.
Katanya, sebelum itu, dia dan rakan-rakannya melihat sekumpulan individu dari Kampung Tengah cuba meredah sungai, namun ada yang dilihat seperti mahu lemas.
“Kami nampak ada kanak-kanak dalam keadaan tercungap-cungap, jadi kami terjun ke dalam sungai untuk membantu mereka. Semasa kejadian kami tidak fikir soal bahaya termasuk buaya, niat hanya untuk membantu.
“Sungai itu besar. Saya fikir kita sesama manusia mesti saling membantu,” katanya.
Jelasnya, beberapa mangsa yang mereka selamatkan turut mengucapkan terima kasih selepas kejadian tersebut.
Amir berkata, jarak lokasi kebakaran dan rumah mereka kira-kira satu kilometer, tetapi bahang kebakaran itu sangat panas sehingga merosakkan pokok berhampiran kediaman mereka.
“Ketika kejadian kami sedang berehat di rumah sebab cuti hari raya. Kami nampak kebakaran dan bunyinya sangat kuat. Rumah kami pun panas,” katanya. – KOSMO! ONLINE