JOHOR BAHRU – Seorang penganggur dan seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan terlibat memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi kerja di negeri ini dan Myanmar.
Tertuduh, Jasper Yap En Wai, 20, dan Desmond Ang Whei Cheng, 18, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa secara bersama memperdagangkan dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara perdayaan di sebuah restoran di Taman Maju Jaya di sini pada pukul 11 malam antara Disember lalu hingga 14 Februari lepas.
Sementara itu, En Wai turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu memperdagangkan seorang mangsa berusia 21 tahun bagi tujuan eksploitasi kerja dengan cara perdayaan di Shwekkoko, Myanmar, antara 7 hingga 14 Februari lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM15,000 kepada Desmond bagi setiap pertuduhan, manakala RM24,000 ditetapkan kepada Jasper bagi setiap pertuduhan. Siti Noraida turut menetapkan tarikh 21 Mei untuk sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE