SHAH ALAM – Nasib 18 anak yatim yang dipercayai dianiaya termasuk dikurung dalam ruang sempit di sebuah rumah kebajikan persendirian berakhir apabila diselamatkan hari ini.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari berkata, kesemua kanak-kanak berusia 5 hingga 17 tahun diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, kanak-kanak itu terdiri daripada 12 lelaki dan enam kanak-kanak perempuan.
“JKM dan polis telah mengambil tindakan hari ini terhadap pemilik rumah kebajikan tersebut dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan satu pendedahan mengejutkan mengenai keadaan sebuah rumah kebajikan di Cheras, di sini susulan video tular memaparkan keadaan penghuni yang didakwa dikurung dalam sebuah bilik berkunci seakan-akan haiwan dalam sangkar.
Rumah kebajikan itu turut didakwa mengenakan kawalan ketat tanpa justifikasi jelas, termasuk membiarkan penghuni terkurung dalam ruang yang sempit. – KOSMO! ONLINE