KEJAYAAN Indonesia layak ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) seakan memberi tamparan kepada industri bola sepak negara yang kini dilihat masih lagi berdepan masalah dalam aspek pembangunan pemain muda.
Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, kelebihan yang ada pada Indonesia adalah memiliki ‘ubi muda’ yang bagus sekali gus memudahkan jurulatih memilih pemain terbaik.
“Perancangan Indonesia bermula pada usia 12 tahun di mana mereka dibawa bermain di Eropah dan berjaya mengalahkan pasukan di sana. Di situ boleh nampak perancangan mereka agak cantik.
“Bukan hanya satu pasukan dihantar keluar, mereka ada banyak pasukan bawah umur dan dari situ mereka akan ada ‘pool of player’. Apabila pemain sudah lama bersama, sudah pasti pasukan mereka agak jitu daripada aspek taktikal serta teknikal.
“Sekarang kita ada AMD (Akademi Mokhtar Dahari), JDT (Johor Darul Ta’zim) tetapi kalau negeri lain juga rancak buat pembangunan, mungkin kita boleh ada ramai pemain bagus. Soal pembangunan kita kena ada sumber (pemain) yang ramai,” katanya.
Wan Jamak menjelaskan semua pihak tidak boleh lagi bermain politik sebaliknya jadikan kejayaan Indonesia ini sebagai titik mula untuk membangunkan pemain muda berkualiti.
“Usah kita cakap tentang politik dalaman, tetapi mungkin dalam hal bola sepak mereka ada wawasan sama. Sebagai salah satu negara di Asia, tidak salah untuk kita contohi Indonesia.
“Di sini pelaburan lebih tertumpu kepada pasukan senior. Harus diingat pembangunan juga adalah pelaburan tetapi ia mungkin akan makan masa, bukannya seminggu, dua atau tiga bulan kerana kematangan pemain adalah berbeza,” katanya.