RAUB – Kira-kira 200 batang pokok durian yang berumur 30 hingga 40 tahun ditebang dalam operasi penguatkuasaan di kebun durian tanpa geran di Sungai Klau di sini semalam.
Difahamkan operasi penguatkuasaan bermula pukul 11 pagi itu melibatkan pasukan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Pejabat Tanah dan Daerah Raub yang diiringi pihak polis.
Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkata, penebangan kira-kira 200 batang pokok durian yang telah mengeluarkan hasil berkenaan amat menyedihkan kerana memberi kerugian yang besar kepada pekebun.
“Apabila saya naik ke kebun bersama para petani untuk meninjau kebun durian yang dimusnahkan, saya sendiri menyaksikan kebun durian yang lengkap dan berpotensi telah musnah sepenuhnya akibat penebangan oleh pihak penguat kuasa.
“Pokok-pokok durian musang king yang tua kelihatan jelas ditebang dengan gergaji elektrik malah tanaman lain di sekeliling seperti pokok pisang juga tidak terkecuali, dan ini satu tindakan yang sangat tidak dapat diterima serta benar-benar membuat para petani menitiskan air mata,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau menyeru agar semua tindakan penebangan dihentikan serta-merta dan pihak berkuasa perlu menghormati perintah mahkamah selain kerajaan harus menguruskan pertikaian tanah dengan pendekatan yang lebih berperikemanusiaan melalui dialog.
“Tindakan penebangan oleh pasukan penguat kuasa semalam jelas melanggar perintah mahkamah dan boleh dianggap sebagai penghinaan proses mahkamah. Pekebun akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri bagi menuntut pampasan atas kerugian yang dialami dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.
“Saya bersama barisan kepimpinan Save Musang King Alliance (Samka) akan terus melancarkan usaha mempertahankan hak pekebun dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana tindakan yang memusnahkan mata pencarian rakyat serta mencabul kedaulatan undang-undang,”ujarnya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd. Shahril Abd. Rahman dalam kenyataan berkata, pihak polis melakukan Op Sekat 3.0 di Hutan Simpan Kekal dan tanah kerajaan negeri Pahang bermula 8 April hingga 3 Mei depan.
Katanya, seramai 10 pegawai dan 137 anggota polis dan penguat kuasa akan melakukan penugasan kawalan keselematan dan pemantauan di kawasan terbabit. – KOSMO! ONLINE