PARIS – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique enggan mendabik dada meskipun dilabelkan sebagai pilihan menjelang aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) menentang Aston Villa di Parc des Princes awal pagi esok.
PSG mendapat tonik terbaik sebelum pertemuan penting itu selepas mereka berjaya mempertahankan gelaran Ligue 1 sebaik sahaja mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Angers pada perlawanan Sabtu lalu.
Biarpun turun dengan status sebagai pasukan pilihan selain beraksi di laman sendiri, namun Enrique memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya tidak memandang rendah kemampuan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Beliau berkata, Villa memiliki kemampuan untuk melakukan kejutan ke atas pasukan-pasukan gergasi Eropah berdasarkan kredibiliti dimiliki pengurusnya, Unai Emery yang dianggap antara jurulatih terbaik rantau itu.
“Saya kenal Emery dan tahu kemampuan beliau dari segi kepakaran melakukan analisis terhadap pasukan lawan. Bagi saya, beliau merupakan salah seorang jurulatih terbaik dan ia sudah dibuktikan bersama beberapa pasukan.
“Justeru, saya sedar dan tahu siapakah lawan kami pada aksi suku akhir nanti. Bagi saya, mereka merupakan pasukan yang lebih lengkap pada musim ini dan aksi suku akhir nanti pasti sengit,” katanya.
Sebagai rekod, PSG tidak pernah memenangi Liga Juara-Juara yang dianggap sebagai trofi teragung bagi saingan bola sepak Eropah itu, manakala Villa pernah memenanginya ketika muncul juara pada musim 1981/82.
Sementara itu, penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma menggesa rakan sepasukan supaya menjadikan kejayaan memenangi Ligue 1 sebagai pembakar semangat bagi meneruskan rentak konsisten.
“Kejuaraan Ligue 1 mampu memberikan kami kekuatan tambahan untuk terus bekerja keras mencapai sasaran. Aksi rabu nanti (awal pagi esok) merupakan objektif paling penting untuk kami semua,” ujarnya. – AGENSI