GERIK – Seorang bekas tentera yang ditahan selepas disyaki menceroboh bangunan dalam kawasan Kompeni C, Batalion Kedua Rejimen 503 Askar Wataniah di sini semalam direman selama tiga hari.
Perintah reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Permohonan reman ke atas suspek itu dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di mahkamah pada pukul 9 pagi sebelum dibawa keluar kira-kira dua jam kemudian.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, seorang lelaki berusia 50 tahun dikenali sebagai Mat ditangkap pada pukul 2.35 petang semalam selepas disyaki menceroboh kawasan berpagar Kompeni C.
Kes pencerobohan yang berlaku pada pukul 8.45 pagi itu dilaporkan seorang sukarelawan tentera berusia 42 tahun.