fbpx

Top 10 Pertandingan ECG Dunia, Malaysia cipta sejarah di Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara peserta yang menyertai Pertandingan ECG Edisi Ke-5 peringkat dunia sempena Kongres European Heart Rhythm Association (EHRA 2025) di Vienna, Austria baru-baru ini.

PETALING JAYA – Malaysia mengukir nama di persada antarabangsa apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 negara terbaik dalam Pertandingan Electrocardiography (ECG) Dunia Edisi ke-5 baru-baru ini.

Kejohanan itu berlangsung serentak dengan Kongres European Heart Rhythm Association (EHRA) pada 30 Mac hingga 1 April 2025 di Vienna, Austria.

Pertandingan berprestij itu melibatkan dua pusingan iaitu pusingan kelayakan secara dalam talian menerusi soalan berbentuk Multiple Choice Questions (MCQ), manakala pusingan akhir berlangsung secara fizikal sempena kongres tersebut.

Pasukan Malaysia yang diwakili oleh Pakar Perubatan Kardiologi, Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah, Dr. Chee Wei Shen dan Dr. Raymond Ong Yu Ying serta Dr. Lim Lee Yee dari Hospital Queen Elizabeth II, Sabah yang berjaya menempah tempat ke pusingan akhir setelah memperoleh keputusan cemerlang dalam pusingan kelayakan.

Menariknya, Malaysia merupakan satu-satunya wakil dari rantau Asia Tenggara yang berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 negara dengan purata markah tertinggi, bersama-sama negara-negara besar seperti Croatia, Sepanyol, Itali, Hungari, Perancis, Jerman, Republik Czech, Poland dan Switzerland.

Pusingan akhir yang menyaksikan persaingan sengit itu telah menarik kehadiran lebih 200 pakar kardiologi dari seluruh dunia, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.

Malaysia mengakhiri pertandingan di kedudukan keenam keseluruhan pencapaian yang cukup membanggakan dalam kalangan negara maju dalam bidang kardiologi.

Menurut Dr. Raymond, penyertaan Malaysia dalam pertandingan berprestij itu merupakan satu petanda positif terhadap kemajuan bidang perubatan kardiovaskular negara.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pakar-pakar perubatan Malaysia, khususnya dalam bidang kardiologi, mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ia bukan sahaja mengangkat martabat profesional kita, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengasah kemahiran dalam bidang yang kritikal ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, ketiga-tiga doktor pakar muda itu melahirkan rasa terhutang budi dan berterima kasih kepada Pakar-Pakar Perunding Kardiologi dari Hospital Sultan Idris Shah dan Hospital Queen Elizabeth II.

Antaranya ialah Datuk Dr. Abd Kahar Abd Ghapar, Datuk Dr. Asri Ranga Abdullah Ramaiah, Dr. Kamaraj Selvaraj, Dr. Raqib Abdul Ghani, Dr. Halwani Habizal dan Dr. Liew Houng Bang di atas nasihat dan dorongan yang diberikan untuk mereka mencapai tahap kejayaan tersebut.

Apa yang pasti, kejayaan yang diraih itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pakar kardiologi muda untuk menyertai pertandingan seumpama ini di masa hadapan.

Ia sekali gus mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara terbaik dalam bidang kardiologi dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI