ALOR SETAR – Projek naik taraf Terminal Bas Shahab Perdana dikenali sebagai Shahab Park untuk fasa satu hampir siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 1 Mei ini.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, kerja-kerja fizikal sudah di peringkat akhir penyiapan, sementara sistem pembelian tiket berpusat sedang diintegrasikan.
“Kita dan pihak Jasa Pedoman Sdn. Bhd. berharap terminal bas itu dapat beroperasi pada 1 Mei ini. Pada masa ini pihak Jasa Pedoman sedang mengintegrasikan sistem pembelian tiket online dengan 21 syarikat bas yang ada,” katanya di sini hari ini.
Katanya, semua kaunter tiket fizikal akan ditutup sebaik sistem tiket berpusat itu berjalan dengan lancar.
“Buat sementara ini iaitu sehingga Mei ini, kaunter tiket bas akan beroperasi seperti biasa. Kaunter tiket dan tandas akan dibuka sehingga pukul 12 tengah malam iaitu bagi bas terakhir,” ujarnya.
Menurutnya, pihaknya sekali lagi akan bertemu dengan Jasa Pedoman dan semua pengusaha syarikat bas untuk mendapatkan status terkini pembangunan fizikal dan sistem tiket berpusat pada hujung bulan ini.
“Jika Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berpuas hati, maka kita akan memuktamadkan sama ada 1 Mei atau bila-bila (tarikh) dalam bulan tersebut untuk betul-betul kita jalankan sepenuhnya online (tiket),” katanya.
Sementara itu, ujarnya, bagi projek naik taraf terminal bagi fasa kedua yang melibatkan bangunan utama merangkumi lot perniagaan, gerai makan dan hotel bajet dijangka siap dalam tempoh setahun lagi.
Terminal Bas Shahab Perdana dinaik taraf dengan kos kira-kira RM12 juta yang melibatkan usaha sama MBAS dan sebuah syarikat swasta, Jasa Pedoman Sdn. Bhd. bermula Disember tahun lalu.
Projek tersebut melibatkan usaha menaik taraf infrastruktur dan prasarana terminal itu yang sudah berusia 25 tahun sejak diwartakan sebagai tempat perhentian bagi kenderaan perkhidmatan awam.
Fasa pertama melibatkan sistem tiket berpusat dan sistem operasi terminal, manakala fasa kedua antaranya melibatkan kerja-kerja perubahan infrastruktur dan reka bentuk semula laluan bas, ruang niaga dan tandas. – KOSMO! ONLINE