fbpx

Tak mudah bikin filem mahaguru silat Gayong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI Beto selaku ADMAR sememangnya dinanti-nantikan menjelang tayangan umum Gayong Mei nanti.

SEJAK pelancaran yang berlangsung pada September 2024, Gayong sudah mula menjadi antara naskhah yang dinantikan peminat peminat filem tanah air.

Lebih mengujakan, filem berkenaan diinspirasikan daripada kisah Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abd. Rahman (ADMAR).

Pesona seterusnya, tentulah aura pelakon popular Beto Kusyairy selaku teraju utama memegang watak ADMAR, bersama-sama barisan pelakon popular lain seperti Syafie Naswip, Nabila Huda dan aktor filem aksi Seberang, Yayan Ruhian.

Kini, setelah selesai penggambaran yang berlangsung di Kuala Lumpur, Sepang dan Tanjung Sedeli, akhirnya filem Gayong bersedia masuk pawagam seluruh negara bermula 8 Mei 2025.

Pengarahnya, Faisal Ishak setakat ini yakin filem berkenaan adalah naskhah aksi yang ditunggu ramai.

“Saya berasakan Gayong tidaklah sekadar filem aksi semata-mata, tetapi platform mengangkat warisan Melayu ke layar perak.

“Apabila menghasilkan filem ini, saya ingin penonton bukan sahaja menikmati aksi yang mendebarkan, tetapi turut merasai jiwa di sebalik setiap gerak dan langkah serta pengorbanan dalam dunia persilatan,” ujarnya.

Mengenai pembabitan dalam penerbitan filem Gayong, Faisal mengakui penghasilan sebuah naskhah yang diinspirasikan daripada kisah seorang tokoh persilatan terkemuka bukanlah sesuatu yang mudah.

Jelasnya, cabaran yang dihadapi bukan sekadar dalam aspek teknikal dan produksi, tetapi lebih kepada memastikan ketulenan dan penghormatan terhadap warisan tokoh berkenaan.

“Sebagai pengasas seni silat Gayong, arwah bukan sahaja seorang pendekar, tetapi guru yang membawa falsafah mendalam tentang ilmu persilatan dan kehidupan.

“Jadi, saya perlu memastikan jalan ceritanya menangkap semangat, perjuangan dan pengorbanan beliau dalam memperjuangkan seni silat Gayong,” ujarnya.

Bagi memastikan Gayong dihasilkan dengan lebih mantap, setiap barisan pelakon harus menjalani latihan intensif bawah bimbingan pengarah aksi iaitu Yayan serta jurulatih silat Gayong yang berpengalaman.

Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap gerakan, teknik dan falsafah silat dipersembahkan dengan autentik dan penuh penghormatan terhadap warisan budaya Melayu.

“Latihan yang dibuat bukan sekadar mengajar mereka pergerakan asas, tetapi juga membantu pelakon memahami disiplin, struktur gerakan, serta semangat yang terkandung dalam setiap jurus dan langkah Gayong,” ujarnya.

Warisan ilmu

Pada masa sama, pembikin Juvana The Movie itu mahu karyanya kali ini menjadi satu penghormatan buat seorang legenda yang telah mewariskan ilmu yang begitu berharga kepada bangsa Melayu.

“Secara jujurnya, saya berbesar hati dapat menerajui sebuah filem yang diinspirasikan dari kehidupan satu legasi, satu perjalanan yang menghubungkan sejarah dan semangat juang,” ujarnya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Gayong, Khairul Anuar Latip berkata, untuk menerbitkan filem berkenaan, pihaknya sudah mendapat persetujuan daripada ahli keluarga ADMAR sendiri terutama anak perempuan dan cucu arwah.

Melakukan penyelidikan sejak Disember 2023, pihaknya berhubung dengan beberapa pihak bagi memantapkan penceritaan sehingga dipertemukan dengan waris kerabat keluarga ADMAR iaitu Hajah Fadzilah (anak) dan Zubaidah Hussin (cucu).

“Kami mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) yang diterajui Lt. Jen (B) Dato Pahlawan Mohd. Razif Hj Idris dan Setiausaha Agung, Akramin Zikri Ali.

“Pihak PSSGM sentiasa berhubung dengan kami dalam segala urusan produksi termasuklah memberikan khidmat nasihat dengan menghantar beberapa ahli pertubuhan silat Gayong sendiri ke lokasi untuk memastikan aksi persilatan yang dilakukan tidak tersasar daripada gerak seni silat Gayong,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI