SEPANG – Polis kini giat mengesan individu yang terbabit dalam cubaan mencuri kabel sistem isyarat di laluan Express Rail Link (ERL) berhampiran Salak Tinggi, pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan G. Shan Gopal berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 431A/447 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati wayar kabel lampu isyarat perkhidmatan Express Rail Link Sdn. Bhd. itu telah dipotong, namun tiada kehilangan kabel dilaporkan.
“Kerugian akibat kerosakan dianggarkan sekitar RM12,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya menerima laporan sekitar pukul 9.33 pagi dan insiden itu dilaporkan berlaku berhampiran stesen ERL Salak Tinggi.
Shan Gopal berkata, laporan polis dibuat seorang pengawal keselamatan ERL selepas menyedari terdapat gangguan isyarat di lokasi Kilometer 48.5 arah ke KL Sentral.
Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Hishamudin Amin di talian 011-11739477. – KOSMO! ONLINE