PUTRAJAYA – Dipuji sebagai contoh lelaki setia, pelakon Shukri Yahaya tidak mendabik dada dengan pujian tersebut sebaliknya sering menyematkan dalam ingatan mengenai keluarganya.
Dalam masa sama, Shukri atau Mohd. Shukri Yahaya, 37, memaklumkan sering berjaga-jaga dalam melakukan apa sahaja supaya tidak memberi implikasi terhadap rang tersayang.
“Saya tak pernah bangga dilabel sebagai lelaki setia. Saya sentiasa berpesan kepada diri sendiri supaya ingat keluarga dalam setiap apa yang dilakukan.
“Saya ada isteri dan anak-anak. Apa yang saya lakukan akan memberi kesan kepada mereka.
“Jadi, saya tidak mahu ada perkara tak elok berlaku,” katanya kepada Kosmo! Online semasa majlis tayangan perdana filem Blood Brothers: Bara Naga.
Menyedari perubahan penampilan isteri, Tya Adnan yang sudah berniqab, bintang drama 7 Hari Mencintaiku itu menegaskan bahawa tiada lagi babak berpegangan tangan dengan wanita lain selain berharap doa orang ramai agar terus beristiqamah.
“Rasanya sudah tiada berlakon berpegangan tangan (pelakon wanita). Semoga saya terus istiqamah, terus menjaga hati isteri saya dan keluarga.
“Doakan saya!,” ujarnya lagi.
Berkongsi lanjut, Shukri sedar akan pujian ramai dan menganggap perkara tersebut sebagai luahan rindu netizen yang rindu melihat keluarganya.
“Saya jarang kongsi mengenai keluarga dalam media sosial. Jadi, raya waktu sesuai untuk saya kongsikan.
“Bagi saya, pujian tersebut mungkin sebab orang nak luah rasa rindu tengok keluarga saya.
“Saya tak anggap pujian sebagai perkara negatif,” ujarnya.
Untuk info, Shukri mendirikan rumah tangga dengan Tya pada 20 November 2015.
Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aaira Ameena, 9, dan Maleeq miqayl, 5. – KOSMO! ONLINE