fbpx

Sepakan percuma ala Roberto Carlos julang Arsenal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
5. BINTANG Arsenal, Declan Rice (dua dari kiri) menjaringkan gol menerusi sepakan percuma ketika menewaskan Real Madrid 3-0 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Emirates, London awal pagi tadi. - ARSENAL

LONDON – Kemenangan 3-0 Arsenal ke atas juara bertahan, Real Madrid pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Emirates awal pagi tadi membuktikan harapan untuk merangkul sekurang-kurangnya satu trofi musim ini masih lagi terbuka luas.

Wira Arsenal, Declan Rice yang meledak dua gol, merasakan kemenangan selesa berjaya mencipta detik penuh bermakna buat The Gunners dan pemain tengah itu seakan hilang kata-kata untuk menggambarkan perasaan pasukan ketika ini.

Menarikya, Rice membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma menarik gaya ala Roberto Carlos (m-58) sebelum bintang tengah England itu menggandakan kedudukan, sekali lagi melalui penyudah sepakan percuma pada minit ke-70.

Dua jaringan yang dihasilkan adalah detik magis dan ia juga ‘gol pertama’ Rice menerusi sepakan percuma sepanjang 339 penampilannya bersama pasukan sebelum Mikel Merino melengkapkan kemenangan Arsenal.

RICE (depan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas menewaskan Real awal pagi tadi. – ARSENAL

“Untuk menjaringkan gol pertama menerusi sepakan percuma pastinya sesuatu yang cukup istimewa. Selepas berjaya pada percubaan pertama, saya begitu yakin untuk melaksanakan peluang kedua dan saya kini hilang kata-kata.

“Untuk tewaskan Real dalam pertandingan ini adalah sesuatu yang hebat, apatah lagi apabila saya dapat menjaringkan gol. Saya begitu gembira dapat bantu pasukan dan jaringan itu adalah sesuatu yang boleh dianggap magis.

“Ini adalah malam penuh bersejarah khususnya dapat menjaringkan dua gol ketika menentang Real. Kami mahu memenangi pertandingan ini, namun kami kena menghadapinya satu demi satu perlawanan,” katanya.

Satu lagi gol Arsenal dalam aksi itu diperoleh menerusi Mikel Merino pada minit ke-75 selepas menyudahkan hantaran daripada Miles Lewis-Skelly untu menewaskan penjaga gol Real, Thibaut Courtois yang cemerlang sepanjang perlawanan

Real berdepan malang apabila enjin bahagian tengahnya, Eduardo Camavinga diarahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua pada lewat permainan.

Kemenangan besar itu membangkitkan semangat Arsenal untuk mendakap gelaran Eropah yang pertama dalam sejarah kelab selepas dikecewakan di pentas final edisi 2006 apabila tewas 1-2 kepada Barcelona. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI