PUTRAJAYA – Pelakon Zamarul Hisham mengakui soal kematian antara perkara yang difikirkannya ketika mengalami serangan jantung di Port Dickson, Negeri Sembilan awal Februari lalu.
Zamarul, 54, berkata, antara yang difikirkannnya adalah tentang kesempatan untuk bertaubat dan kehidupan keluarganya kelak.
“Sewaktu serangan itu berlaku, saya rasa ‘zero’ seperti hilang segalanya. Saya sempat bertanya pada diri sendiri adakah masih peluang untuk bertaubat dan memperbaiki amal ibadah.
“Bukanlah nak cakap saya ini terlalu jahat, tetapi pelbagai perkara mula bermain di fikiran.
“Cuma apa yang mampu saya lakukan hanyalah memohon kepada Tuhan agar diberikan peluang untuk melihat anak-anak membesar.
“Saya juga merayu , ‘janganlah (ambil nyawa) sekarang, jika Kau izinkan.’ Itu sahajalah yang terlintas di fikiran saya ketika itu. Ia satu perasaan yang cukup menakutkan dan sukar untuk digambarkan,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Blood Brothers: Bara Naga di sini, baru-baru ini.
Kongsinya, dia kini perlu bergantung kepada ubat-ubatan demi memastikan kesihatannya terkawal termasuk mengelak daripada serangan jantung itu berulang kembali.
“Sekarang saya perlu makan ubat setiap hari. Selepas dibenarkan keluar hospital saya perlu makan tujuh jenis ubat, namun sekarang sudah tinggal lima jenis saja.
“Alhamdulillah semakin pulih tetapi jika tak kawal pemakanan, saya akan mula rasa tidak selesa pada bahagian jantung. Sekarang ini memang akan sentiasa bawa ubat ke mana-mana.
“Sewaktu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama tujuh hari, saya berazam untuk jaga pemakanan dan kesihatan tetapi selepas masuk hari kelima di rumah, janji tinggal janji,” ujarnya.
Katanya lagi, dia turut menjalani prosedur angiogram dan pemasangan sten di bahagian kanan jantung.
Dia juga perlu menjalani satu lagi prosedur sten di bahagian kiri jantung dalam tempoh terdekat.
“Sepatutnya dua sten perlu dipasang, tapi doktor hanya pasang satu dulu sebab enggan mengambil risiko. Satu sten pun sudah mengambil masa lebih dua jam.
“Kalau diikutkan saya sudah dijadualkan untuk pembedahan kedua, tapi saya ikhtiar dulu dengan rawatan tradisional.
“Harap ada kesan positif dan untuk temu janji seterusnya, doktor maklumkan yang saya tak perlu jalani pembedahan itu,” jelasnya.
Pada 5 Februari lalu, Zamarul dimasukkan ke ICU, Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira pukul 2 pagi akibat sesak nafas ketika berada di lokasi penggambaran.
Dia kemudiannya dipindahkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Subang untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE