JAKARTA – Sepasang suami isteri di Indonesia menerima perhatian ramai selepas rumah mereka dipenuhi lalat sehingga terpaksa makan di dalam kelambu, lapor portal berita Lambe Turah semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @infosukamara memaparkan pasangan tersebut sedang menjamu selera di dalam kelambu.
Kelambu itu dipasang bukan untuk menghalang nyamuk, sebaliknya lalat.
Berpuluh-puluh ekor lalat cuba memasuki kelambu berkenaan disebabkan bau makanan.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen.
“Lalat banyak sebab ada ‘sesuatu’,” kata seorang netizen.
“Mungkin rumah anda terletak berhampiran dengan kandang ayam atau lembu,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI