KUALA KRAI – Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor lembu yang melintas jalan di Kilometer 73, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.17 pagi itu, mangsa yang berusia 18 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd. Maizan Mustaffa berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Krai untuk pulang ke rumahnya di Kampung Baru Pahi di sini.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, seekor lembu dipercayai tiba-tiba melintas jalan.
“Keadaan itu menyebabkan motosikal mangsa merempuh haiwan berkenaan. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Unit Forensik HSIP untuk dibedah siasat.
“Justeru, pemilik lembu dinasihatkan agar tidak membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran di jalan raya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Maizan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE