LONDON – Pelumba Yamaha, Fabio Quartararo mengakui jentera YZR M1 miliknya masih jauh ketinggalan berbanding motosikal Ducati terutamanya dari segi keseimbangan motosikal.
Bekas juara Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2021 itu berkata, kekurangan paling ketara adalah pada bahagian belakang jentera Yamaha yang dilihat tidak membantu ketika melakukan brek dan keluar selekoh.
Katanya, perbezaan tersebut dapat dilihat ketika dia bersaing rapat dengan jentera Ducati dalam perlumbaan sprint Grand Prix Americas baru-baru ini.
“Dalam brek lurus, jentera masih baik. Tapi bila perlu brek ketika mengambil selekoh 15, Ducati boleh hentikan motosikal dengan kedua-dua tayar.
“Yamaha pula hanya bergantung pada tayar depan. Jadi bila ikut mereka rapat, saya terpaksa tolak had depan motosikal dan banyak lakukan kesilapan. Saya bernasib baik dapat kawal beberapa kali daripada terjatuh,” katanya.
Tambah Quartararo, bahagian belakang jentera Yamaha gagal memberikan sokongan terutama ketika brek, memecut dan menukar arah.
“Bahagian depan memang kuat, malah mungkin lebih baik berbanding Ducati. Tapi masalahnya belakang sangat lemah. Tidak membantu brek dengan baik, susah dapatkan cengkaman bila keluar selekoh, malah ketika tukar arah motosikal banyak meleret.
“Kita akan terus berusaha mencari keseimbangan terbaik. Harap di Qatar nanti kita mampu tampil lebih baik,” kata Quartararo yang kini berada di kedudukan ke-13 selepas tiga pusingan.
Rakan sepasukan Quartararo, Alex Rins turut berdepan cabaran sama, namun isu berbeza apabila dia bergelut dengan bahagian depan motosikal Yamaha.
Bagaimanapun, Rins berjaya membuat perubahan pada pelarasan jenteranya dan berjaya menamatkan perlumbaan utama di kedudukan ke-11. – AGENSI