LIPIS – Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki yang tidak menyedari anaknya berusia tiga tahun terjatuh daripada kereta dipandunya di Kilometer 5 Jalan Lipis-Merapoh di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
“Bapa kanak-kanak tersebut telah selesai dirakam percakapan semalam dan dia tidak ditahan, manakala siasatan diteruskan untuk merakam percakapan orang awam yang menjumpai kanak-kanak tersebut.
“Kita juga akan mendapatkan laporan perubatan kanak-kanak tersebut dan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya,” katanya di sini hari ini.
Hari ini Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera di muka selepas dipercayai terjatuh dari sebuah kereta di Kilometer 5 Jalan Lipis-Merapoh dekat Kampung Tempoyang di sini.
Ismail Man dilaporkan berkata, kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu berlaku ketika kanak-kanak itu dalam perjalanan bersama bapanya yang memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback dari sebuah kedai perkakasan di Tempoyang menuju ke Simpang Tempoyang untuk membuat pusingan U. – KOSMO! ONLINE